Friday, April 22, 2011

Pemain Import Mungkin Kembali Musim Depan - Tengku Abdullah

KUALA LUMPUR - Selepas tiga musim, khidmat pemain import mungkin kembali mewarnai liga bola sepak tempatan musim depan.
Itu bayangan yang diberikan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang berpendapat penggunaan khidmat pemain import mampu menjadikan Liga Malaysia (Liga-M) lebih kompetitif.


Tambah beliau, kehadiran pemain import juga berupaya menarik lebih ramai penyokong ke stadium.
Lantaran itu beliau tidak menolak kemungkinan khidmat pemain import bakal diperkenalkan kembali dalam saingan bola sepak tempatan mulai musim depan.
"Kita sudah membayangkan hala tuju untuk musim 2012 iaitu kehadiran pemain import ke dalam pasukan negeri mahu pun kelab berupaya meningkatkan kualiti permainan para pemain," katanya.
Beliau menghadiri majlis cabutan undi pusingan kelayakan Zon D Piala Dunia Polo Persekutuan Polo Antarabangsa (FIP) 2011 di sini, semalam.
Jelas Tengku Abdullah, keputusan sama ada pemain import akan dibenarkan, akan dibawa ke dalam mesyuarat FAM untuk diperbincangkan secara mendalam.
Utusan Malaysia difahamkan, Jawatankuasa Ad-hoc yang ditubuhkan oleh FAM akan bermesyuarat pada hujung bulan ini bagi mencari kata putus berhubung keputusan untuk membenarkan semula pemain import beraksi dalam liga bola sepak tempatan.


FAM tidak lagi membenarkan khidmat pemain import dalam liga tempatan mulai musim 2009 dan ia dikekalkan sehingga musim lalu.
Keputusan FAM itu bertujuan memberi peluang kepada pemain tempatan terutamanya pemain penyerang yang sentiasa dibayangi oleh pemain import dan gagal mendapat tempat dalam kesebelasan utama dalam pasukan masing-masing.
Ia merupakan larangan kedua penggunaan khidmat asing selepas larangan yang sama selama tiga musim mulai 1999 hingga 2001.
Mengenai perkembangan pemain kebangsaan, Safee Sali yang beraksi bersama kelab Indonesia, Pelita Jaya, Tengku Abdullah menyifatkan kejayaan bekas pemain Selangor itu beraksi baik bersama pasukan barunya memberi petanda positif buat karier Safee.
"Saya harap dia dapat jaringkan gol dalam setiap perlawanan dan sentiasa meningkatkan gaya permainannya dari semasa ke semasa," ujarnya.

No comments:

Post a Comment