Sunday, December 12, 2010

Sarawak yakin bentuk skuad yang mantap sekembali dari Sabah


Posted on December 11, 2010, Saturday
KUCHING: Ketua jurulatih Sarawak, Mohd Zaki Shaikh Ahmad membayangkan mampu membentuk sebuah pasukan mantap sekembalinya mereka dalam siri perlawanan persahabatan menentang Sabah nanti.
Sarawak akan menguji Sabah dalam dua siri perlawanan persahabatan iaitu perlawanan pertama di Stadium Universiti Malaysia Sabah (UMS) petang ini dan perlawanan kedua di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada 13 Disember (Isnin), juga pada jam 4 petang.
Menurut Mohd Zaki, buat masa ini semua pemain telah pun membuktikan kewibawaan dan kemampuan mereka masing-masing dan bersedia menghadapi kedua-dua perlawanan persahabatan itu.
“Kita telah menjalani latihan intensif sepanjang bulan ini, malah semua pemain juga telah pun menunjukkan tahap kecergasan yang baik.
“Justeru, saya yakin mereka mampu membuktikan kemampuan masing-masing dalam siri perlawanan persahabatan menentang Sabah,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo di Kota Kinabalu, semalam.
Malah, Mohd Zaki percaya beliau dapat membentuk sebuah pasukan mantap untuk menghadapi Liga Malaysia 2011 sekembalinya mereka mengadakan dua siri perlawanan persahabatan menentang Sabah nanti.
“Buat masa ini sememangnya saya sudah dapat melihat kemampuan pemain-pemain yang bakal disenaraikan dalam kesebelasan utama. Namun, mereka (pemain-pemain) perlu berusaha lebih untuk merebut tempat,” katanya.
Mohd Zaki menarik perhatian kesebelasan utama yang bakal beliau tampilkan nanti merupakan pemain-pemain berpengalaman dalam sege-nap posisi.
Justeru, beliau tidak menghadapi masalah untuk membentuk sebuah pasukan kuat bagi Liga Malaysia musim baru ini dengan keterserlahan pemain-pemain yang telah disenaraikan musim 2011 nanti.
“Saya percaya semua pemain mampu menunjukkan kehebatan masing-masing tatkala diberi peluang untuk beraksi,” katanya.
Sekembalinya dari Sabah nanti, Sarawak dijangka akan mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan dengan pasukan-pasukan dan kelab handalan di Semenanjung Malaysia.
Antara pasukan-pasukan yang dikenal pasti menjadi rakan ‘sparing’ Sarawak ialah Kedah, Perlis, Perak, Kelantan, Kuala Lumpur serta dua pasukan berstatus kelab iaitu Felda United dan Maybank FC.
“Saya semua pemain mampu meningkatkan prestasi mereka dari semasa ke semasa sepanjang menghadapi perlawanan-perlawanan persahabatan nanti,” katanya sambil menaruh harapan bahawa peminat-peminat akan memberi sokongan padu kepada pasukan Sarawak nanti.





**SUMBER DIPEROLEHI DARI BORNEO POST ONLIE



  ~ SADIEHAF Media Team ~

No comments:

Post a Comment