Monday, May 30, 2011

Rajagobal Uji Pemain Kebangsaan Di Hong Kong

KELANA JAYA, 29 Mei (Bernama) -- Perlawanan persahabatan antara skuad bola sepak Malaysia dan Hong Kong Jumaat ini akan menjadi medan pemilihan mengisi kekosongan pasukan kelayakan Piala Dunia.

Ketua Jurulatih skuad bola sepak kebangsaan K. Rajagobal berkata pemilihan pemain akan dibuat berdasarkan persembahan mereka ketika beraksi menentang Hong Kong.

Beliau berkata sehubungan itu, pemain perlu bermain bersungguh-sungguh jika ingin dipilih.

"Saya ingin melihat sejauh mana kemampuan setiap pemain sebagai persiapan untuk menghadapi Piala Dunia 2014 di Brazil nanti," katanya kepada pemberita di sini.

Rajagobal berkata tujuan beliau menyenaraikan sepuluh pemain baru adalah untuk memberi peluang kepada mereka dan melihat sama ada sesuai diserapkan ke dalam skuad kebangsaan.

Seramai 21 orang yang dipanggil Rajagobal melaporkan diri bagi menyertai kem latihan petang ini kecuali pemain kebangsaan Safee Sali, Baddrol Bakhtiar dan Abdul Hadi Hamid, yang akan hadir esok.

Rajagobal berkata beliau tidak akan memberi tekanan kepada Safee pada perlawanan itu nanti, sebaliknya yakin pemain yang kini bermain untuk Kelab Pelita Jaya Indonesia tersebut mampu beraksi dengan baik, walaupun telah lama tidak bersama skuad kebangsaan.

"Saya yakin Safee tahu cara permaian yang kita kehendaki, dan saya tidak perlu bimbang dan beri tekanan kepada beliau," katanya.

Beliau berkata daripada 24 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan bermula petang ini, hanya 22 orang akan dibawa ke Hong Kong.

Antara pemain yang menyertai kem itu ialah Nasril Nourdin, Syed Adney Syed Hussein, Nasriq Baharom, Hisyamudin Shaari, Helmi Remeli, Shahrom Kalam, Farisham Ismail, Ismail Faruqi Ashari, Abdul Hadi Yahaya dan Safee Sali.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment