Friday, May 27, 2011

PBNS Buat Laporan Polis Mengenai Kegiatan Atur Keputusan Perlawanan

SEREMBAN, 26 Mei (Bernama) -- Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) pada Khamis membuat laporan polis mengenai kegiatan mengatur keputusan perlawanan membabitkan pasukan Negeri Sembilan dalam Liga Piala Presiden.

Presiden PBNS Datuk Seri Mohamad Hasan berkata laporan polis itu dibuat oleh pengurus pasukan Piala Presiden negeri Bahari Abd Rahman dan Setiausaha Kehormat PBNS Datuk Abd Halim Abd Latif di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban di sini.

"Laporan polis itu bagi menyiasat beberapa pemain termasuk pengurusan skuad bola sepak Piala Presiden negeri ini yang disyaki terlibat dengan kegiatan mengatur perlawanan. Ini kerana kita mempercayai terdapat pemain termasuk individu di peringkat pengurusan pasukan Piala Presiden yang terlibat dengan aktiviti mengatur keputusan perlawanan.

"Saya dengan berat hati dan kesal ingin perkara ini disiasat segera dalam usaha memastikan wabak ini dapat segera dibendung sebelum ia menjadi barah yang boleh menular dan mengakibatkan keruntuhan bola sepak negara," katanya dalam sidang media di Wisma Negeri di sini pada Khamis.

Mohamad yang juga Menteri Besar berkata laporan tersebut dibuat selepas pihaknya memiliki beberapa bukti kukuh termasuk saksi berhubung kegiatan tersebut yang dipercayai telah berlaku sejak hujung tahun lepas.

"Gejala ini dipercayai telah berlaku sejak tahun lepas, namun ketika itu kita tidak boleh mengambil apa-apa tindakan memandangkan kita tidak mempunyai bukti.

"Kita tidak buat laporan masa itu kerana kita tidak mahu menuduh atau menganiaya sesiapa tanpa sebarang bukti, tetapi hari ini kita minta pihak berkuasa membongkar perkara ini kerana kita sudah mempunyai saksi," katanya.

Katanya lagi pihaknya memandang serius perkara tersebut dan bimbang gejala mengatur keputusan perlawanan ini turut membabitkan pemain Liga Super.

"Kita juga percaya unsur negatif ini juga mungkin wujud pada pasukan Liga Super berikutan prestasi yang tidak konsisten ditunjukkan mereka, sekejap menang sekejap kalah," katanya.

Ketika ditanya mengenai status pemain serta pengurusan pasukan terbabit, Mohamad berkata sebarang hukuman atau tindakan akan dilakukan sebaik pihak polis selesai menjalankan siasatan.

Pasukan Negeri Sembilan yang mengumpul 20 mata, kini menduduki tangga ketujuh Kumpulan B dalam saingan Liga Piala Presiden selepas mengharungi 18 perlawanan.

Dalam saingan yang hanya berbaki dua perlawanan itu Negeri Sembilan hanya mencatatkan lima kemenangan, lima seri dan lapan kekalahan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment