Wednesday, December 15, 2010

Parlimen Santubong Galas Cabaran Sarawak Ke Futsal 1Belia 1Malaysia

Wan Junaidi janji ganda wang hadiah jika Santubong juarai Futsal 1Belia 1Malaysia peringkat kebangsaan




SELAMAT BERJUANG: Wan Junaidi menyampaikan jersi kepada ketua pasukan futsal Santubong di Kuching, semalam.



KUCHING: Pasukan Futsal Parlimen Santubong bakal menerima hadiah berganda jika mereka membawa pulang gelaran juara atau hadiah-hadiah terbaik pada kejohanan Futsal 1Belia 1Malaysia di Kuala Lumpur nanti.
Ahli Parlimen Santubong, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata jika pasukannya muncul juara, mereka akan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 daripada pihak penganjur dan RM10,000 daripada beliau sendiri.
“Saya berjanji akan menggandakan hadiah wang tunai jika pasukan kita (Santubong) mampu merangkul sebarang kejayaan pada pertandingan futsal peringkat kebangsaan nanti,” katanya.
Di samping hadiah wang tunai RM10,000 untuk juara, kejohanan itu juga menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM7,000 (naib juara), RM5,000 (ketiga), RM3,000 (keempat) dan RM1,000 (kelima hingga kelapan).
Sebanyak 444 pasukan lelaki dan wanita bakal berentap pada kejohanan itu yang bermula dari 15 hingga 20 Disember ini di Putrajaya, Kuala Lumpur.
Parlimen Santubong mempertaruhkan pasukan lelaki dan wanita iaitu Pasukan KBU (Kampung Bintawa Ulu) dan KASEN (Kampung Senari).
Kedua-dua wakil Santubong itu masing-masing telah mengungguli kejohanan futsal peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen Santubong baru-baru ini.
Wan Junaidi berkata, beliau ternyata berbangga dengan kejayaan kedua-dua pasukan terbabit yang bakal mengibarkan ‘bendera’ Santubong pada kejohanan kebangsaan itu.
“Saya berharap kedua-dua pasukan akan membuktikan kewibawaan masing-masing untuk memburu kejayaan, selain mengukuhkan perpaduan kalangan belia seluruh negara,” katanya pada majlis penyerahan jersi kepada kedua-dua pasukan terbabit di pejabatnya di sini, semalam.
Hadir sama ialah Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Kuching, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak Syed Zyed Wan Asnawi, Pegawai JBS Zawawi Hassan, Pemanca Rosidi Junai, Penghulu Kampung Bintawa Harie Siri serta kedua-dua jurulatih dan pengurus pasukan terbabit, Sabaruddin Bohari dan Suharyati Sulaiman.
Wan Junaidi menarik perhatian, kejohanan itu merupakan landasan bagi mengeratkan perpaduan di kalangan belia seluruh negara yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sejajar dengan gagasan 1Malaysia.
Wan Junaidi yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat yakin kejohanan yang disertai ribuan para belia seluruh negara itu mampu mencapai matlamat melahirkan generasi muda yang proaktif dan produktif.
“Saya yakin kedua-dua pasukan kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memburu kejayaan yang diidam-idamkan semua,” katanya.
Sehubungan itu, Suharyati berkata mereka berjanji akan mempamerkan mutu permainan yang menarik serta bertekad untuk memburu kemenangan dalam setiap perlawanan yang diharungi.
“Kami akan membuktikan keupayaan masing-masing untuk memburu kejayaan sekali gus mengharumkan nama Santubong,” katanya bersemangat.
Justeru, katanya, sokongan padu Wan Junaidi serta para pegawai dan peminat-peminat sukan futsal negeri ini terutamanya bagi kawasan Parlimen Santubong, ia mampu direalisasikan.



** SUMBER DIPEROLEHI DARI BORNEO POST ONLINE


~SADIEHAF Media Team ~

No comments:

Post a Comment